CLICK & ENJOY

Sunday, 2 October 2016

Anak sakit dan pengalaman

PART II

Jika ingin bercerita tentang pengalaman anak sakit, Aniq Raheel banyak memberikan mommy rasa itu. Rasa gusar, gundah dan mendebarkan. Daripada masalah matanya membawa kepada jangkitan Rotavirus.

Kerana itu, paling takut apabila berdepan dengan Aniq. Berdepan dengan dia dalam keadaan tidak sihatnya.

Dan kerana itu juga, apabila mendapat tahu virus cirit muntah yang dibawa oleg Akif sampai ke Aniq pada malam selepas Akif ditahan, mommy tidak dapat lelapkan mata walau sesaat. Lebih-lebih lagi apabila Aniq terpaksa ditahan di NSCMCH.

Seriau rasa apabila daddy beritahu Aniq muntah lebih sepuluh/sebelas kali ditambah dengan cirit....

Selepas berjaya proses pemindahan Aniq ke CA, perkara pertama Dr Chin tanyakan adalah mengenai Ritavirus.

Ya, mommy ceritakan bahawa Aniq memang ada sejarah hidapi Rotavirus ketika usinya mencecah hampir dua tahun. Lima hari dia di HTJ. Demam tak pernah surut dadi 38-39 darjah celcius hingga palet darah tidak di paras yang baik sehingga perlu ditempatkan di hadapan kaunter nurse bagi membolehkan pemantauan rapi.

Dan ketika itu, antara kuat dan tidak, mommy yang baru saja mengandungkan Ruhee sebulan lebih, tetaplah gagahkan diri, bersengkang mata demi kesayangan mommy. Dan kerana insiden itu jugalah, Ruhee dan Akif mommy genapkan vaksin tambahan termasuk vaksin Rotavirus.

Syukur, selepas Dr Chin membuat ujian spesimen terhadap najis tiga beradik itu terutama Aniq, mereka bebas daripada virus berbahaya itu.

Paling disukai dengan Dr Chin iaitu Dr Paed CA adalah ketelitian beliau menjalankan pemeriksaan terhadap kanak-kanak. Rawatan dan cara kerjanya sangat terperinci dan agak cerewet. Mana tidaknya, budak dua orang itu sentiasa on drip sehingga Dr kata ok dan boleh off.

Memang teliti waima sekiranya membawa anak-anak pemeriksaan bulanan. Pun begitu sehingga daki di celah jari baby pun ditegur.

.....

Itu antara pengalaman yang boleh dikongsi. Bahayanya muntah dan cirit dikalangan kanak-kanak dan ia boleh berjangkit.

Dan sebenarnya, Rotavirus juga boleh dihidapi sekiranya anak-anak mengambil vaksin tetapi peratusnya rendah. Bayangkan sekiranya tiada vaksin?

Berbeza, memang berbeza. Aniq mengambil masa lama untuk pulih berbanding Akif. Hanya dua botol air dan selepas itu pemantauan dalam wad kerana usianya yang masih baby. Aniq? Sangat lemah keadaannya pada hari pertama dan kedua selepas dijangkiti. Susut dan pucat.

Maka, tepuk dada, tanya hati. Orang kata cegah itu lebih  baik daripada rawat.

Ya, Allah, peliharalah anak-anakku daripada segala penyakit berjangkit, bala bencana, kemudaratan dan peliharalah mereka dengan rahmat Mu.

Tamat../

Tiga serangkai muntah dan cirit

Beberapa hari yang mendidik diri erti kesabaran dan ketabahan. Bermula pada 20 September lalu selepas menerima panggilan telefon daripada pengasuh Akif Raheel memberitahu bahawa budak comel itu muntah berlarutan.

Saat itu, hati mula cemas. Bagaimana hendak berkejaran pulang ke Seremban? Jam sudah pun merangkak lagi lima belas minit ke angka enam petang dan pastinya kesesakan sudah bermula.

Tanpa rasa, terus saja mengundur diri dari pejabat. Pasti, kesesakan sudah pun di depan mata. Dalam hati sekadar berdoa, berharap Akif dapat bertahan, dan tika itu jugalah terimbau memori Aniq Raheel jatuh sakit pada usia lebih  kurang adiknya.

Sampai saja Seremban, terus mengangkut anak-anak lain yang sedang menanti di rumah bersama daddy dan mengambil Akif di rumah pengasuh. Terus membawanya ke kecemasan, Columbia Asia.

Seperti kebiasaan ubat tahan muntah dimasukkan menerusi bontot si comel. Wajahnya? Sudah tidak bermaya.

Pulang ke rumah. Namun, sepanjang malam itu Aki terus membelahakkan muntahnya setiap kali menyusu...

21 September 2016; ambil cuti dan bawa Akif ke Klinik Pakar Kanak-kanak Sayangku. Disuntik pula. Pulang ke rumah. Buat apa doktor Oo pesan.

Malangnya, dua kali muntah dan mula cirit-birit. Dan seperti yang dipesan doktor, telefon beliau sekiranya keadaan tidak ok. Dan akhirnya kami ke CA sekali lagi dan kali ini untuk ditahan di hospital. Syukur, sebelum ke sana, daddy sudah pun menelefon Dr Chin, urusan menjadi sedikit mudah.

Tidak mengapalah, bermalam saja di hospital asalkan Akif kembali pulih. Atok, mak, umi dan ibu Qis juga singgah melawat selepas menghantar mokcu pulang ke asrama. Tenang rasa apabila mereka akan bermalam di Seremban untuk menjaga Aniq dan Ruhee Ayra.

Sedang elok, Akif berehat tidur dan mommy pun terasa mahu merenggangkan urat, jam 1 pagi daddy telefon beritahu Aniq muntah-muntah dan cirit-birit hampair 11-12 kali. Terus mommy minta mereka datang ke kecemasan CA.

22 September 2016; jam sudah pun menunjukkan pukul tiga pagi. Namun, Aniq masih di kecemasan. Tiada bilik kosong. Kecemasan membantu dengan menelefon KPJ, juga tiada bilik kosong. Aniq makin lemah dan kecemasan minta daddy bawa saja ke Negeri Sembilan Chinese Medical Center Hospital.

Dengan ditemani umi, Aniq di bawa segera ke NSCMCH dan kira-kira pada jam 6 pagi Aniq ditempatkan di wad.

Mommy pula mula rindu dan risau. Dua anak sakit serentak tetapi si abang di sana dan adik di sini. Mujur ada umi dan teknologi. Sepanjang kejadian umi melapor menerusi video whatsapp. Apa yang sedang Aniq lalui dan lakukan di sana.

Sepatutnya, mereka akan balik Muar hari ini tetapi ditunda kerana keadaan yang sedang mommy hadapi.

Lebih kurang jam dua petang, nurse CA memberitahu ada kekosongn bilik untuk dua orang. Pantas mommy cakap nak dan telefon daddy supaya proses pindahkan Aniq ke CA boleh dibuat.

Syukur, malam itu, Aniq dipindahkan ke CA, menerima rawatan daripada Dr Chin dan berjiran dengan adiknya di dalam wad.

Jika semalamnya mommy tak dapat lelapkan mata, malam ini mommy dapat juga tidur beberapa jam.

23 September 2016; Ruhee pula mula muntah-muntah tetapi tidak seteruk abang. Sejak malam semalam sebenarnya. Atok dan semua akan pulang hari ini. Mommy tak kisah sebab Aniq sudah pun di CA. Urusan menjaga mudah.

Terima kasih atok, mak, umi dan ibu Qis yang membantu momm, daddy dan tiga budak comel. Hanya Allah yang dapat membalas.

Petang dalam jam 5 lebih, Ruhee di bawa ke kecemasan kerana muntah-muntah. Sedang elok, dalam jam 7 petang Dr Chin melawat dua beradik dan turut melihat keadaan Ruhee.

Lega rasanya selepas Dr Chin memberitahu bahawa Ruhee masih stabil dan tidak perlu ditahan seperti abang dan adiknya.

Malam terakhir di wad bersama anak-anak dan suami. Menjaga anak-anak sakit bukan perkara mudah. Tiada tidur lena dan selesa. Satu katil, Ruhee bersama Akif dan mommy manakala satu katil lagi daddy bersama Aniq.

Aniq masih on drip. Paling tidak sepanjang malam itu, kira-kira dua botol lagi untuk Aniq. Tidak sabar menanti esok, esok yang bakal membawa berita gembira.

Syukur, sepanjang malam itu, semua anakacuk mommy tidur nyenyak walaupun setiap beberapa jam nurse masuk untuk jalani pemeriksaan.

24 September 2016; awal pagi mommy dah bersiap. Aniq pun bangun awal pagi dan akhirnya drip dibuka. Enam botol air untuk Aniq. Berehat sungguh dia sepanjang di wad.

Dr Chin datang melawat pesakit dalam jam lapan pagi. Semua ok. Ruhee pun ok. Alhamdulillah. Akhirnya percutian di hospital berakhir. Semoga anak-anak kembali sihat dan ceria.

**** bersambung

Thursday, 28 July 2016

Muhammad Akif Raheel (1st Birthday)




Ulangtahun kelahiran pertama, Akif Raheel
Maaf sayang
mommy dan daddy masih belum berkesempatan untuk membuat party pertama untuk kamu







Sunday, 24 July 2016

Buah oren

Si oren masih setia di situ menjadi saksi alam. Barangkali andai si oren boleh bercakap, 1001 kisah akan diceritakan. Walaupun dirinya busuk, tidak sebusuk manusia yang gemar memfitnah. Walaupun dirinya kotor, tidak sekotor manusia yang suka menyumpah. Walaupun dirinya jelek, tidak sekeji manusia yang tiada ikhlas.

Sudah tentu, apa yang dikisahkan ada penyebabnya. Usah menjadi insan yang menuduh tanpa bukti, menunding tanpa gali. Usah juga menjadi insan yang sekadar meneguk dikeruhnya air tanpa mendengar dari sini, hanya bersaksikan yang sana.

Biarkan kebenaran tak terbukti
Biarkan keihklasam tak diingati
Biarkan dendamnya melahar
Biarkan sampai sendiri bosan
Dengan aura negatif binaannya.

Konkritkanlah rasa itu
Andainya ia mendamaikan

Tak usah dianjingkan
Tak perlu dikecohkan
Kerana
Kita bukan budak-budak
Yang belum mampu berlandaskan akal waras
Belum mampu mengawal rasa amarah.

Biarkan ia berlalu seperti ribut sebelum hujan lebat
Dan biarkan diri utuh dengan ujian Nya
Dan biarkan rasa bebas itu hadir tanpa sengketa.

..... 

Maaf

Andai ada peluang terakhir
Untuk aku berkata
Ingin aku ungkapkan
Patah kata keramat,
Maaf, maaf dan maaf.

Maaf kerana mengguris hati
Maaf kerana menyakiti perasaan
Maaf kerana mencalar impian
Maaf kerana pernah meninggalkan.

Andai ketika itu pernah aku menzahirkan
Satu rasa yang kental
Andai ketika itu pernah aku melakarkan
Satu memori yang indah
Tentang cinta yang membuaikan,
Maafkan aku.

Kiranya masih ada calar-balar dalam hatimu
Maafkan aku
Jika wujud rasa benci untukku
Maafkan aku...

Satu saja ku nukilankan
Bahawa apa yang telah terjadi
Ada penyebab dan
Biarkan aku simpan
Buat pedoman...

Maafkan aku
Maafkan aku
Maafkan aku.

Thursday, 14 July 2016

dan...


dan... akhirnya, entah sampai bila akan kutemu titik sambungannya. Masih di sini menanti satu khabar yang kuinginkan, kepinginkan. Barangkali ia mustahil dengan keadaan semasa yang gawat kini. Cuma, aku masih berharap supaya ada lorong di depan yang menanti...

dan... benarlah, penantian satu penyiksaan dan penantian juga sesuatu yang amat menghantui diri.


...........

Tuesday, 5 July 2016

Nama itu

Nama itu sudah sebati
Nama itu pujaan hati
Takkan padam sampai mati

Biarkan nama itu menjadi memori
Walau pernah menyakiti
Biarkan nama itu terus bahagia
Walau acapkali disakiti

Biarkan
Biarkan


Monday, 25 April 2016

Decendants of the sun

Joong Ki menghantui diri...

Watak yang dilakonkan pelakon Innocent Man dan Sunyukawan Scandal dalam DOTS kian menghantui diri. Semalam episod akhir dan masih belum sempat untuk menonton.

Demam tak kebah-kebah.

Happy 3rd birthday Ruhee

Tiga tahun sudah si kerinting mommy dan daddy yang comel
manja bukan main sebab dia seorang saja perempuan dalam keluarga kecil kami

moga sentiasa menjadi anak yang baik
dunia akhirat


cerita lama



Akif Raheel yang sunyi tanpa berita....
Ceritanya tak hebat seperti abang Aniq 
Tapi dia tetap menjadi pujaan hati mommy
Dan kini.... Akif pada umur sebelas bulan 





Happy 6th Birthday Aniq Raheel









Enam tahun sudah budak bobot ni. Banyak akal, tetap manja dan kacak.
Moga sentiasa jadi anak yang baik....






sambutan di sekolah smart reader kids Oakland.

setelah itu...



Setelah itu, sudah enam bulan di sini. Namun, tiada sebarang sasaran disasarkan atau dengan kata lain, berjaya digapai....

Hmmm.. entahlah, mungkin sudah jodoh untuk berdiam di sini. Barangkali, andai ada peluang kedua dan ketiga, pasti kuat untuk kaki ini melangkah pergi. Tetapi, kerana terlalu banyak ikatan, terpaksa dipenjara di sini.

Sampai bila? Itu masih menjadi persoalan dan persoalan itu mustahil untuk diberi jawapan. Jawapan? Walaupun ada tetapi ikatan yang mengikat ini terlalu erat. Mungkin sasaran baharu, dalam masa dua tahun.

Dan sebenarnya..... andai lelaki bernama suami itu menyerah, pasti aku akan berserah dengan tekad dan nekad. Aku percaya pada rezeki Allah dan aku percaya untuk hidup itu mudah andai kita, hamba Nya percaya dengan firman Nya.....


~~~ luahan rasa mommy untuk sekian kali....~~~

Tuesday, 12 January 2016

NIP

NIP itu menjadi lebih selesa sekiranya setiap ibu faham tujuan sebenar mereka menyusukan anak dengan susu ibu.

NIP adalah perkara biasa dan mommy pun melaluinya terutama di tempat atau kawasan yang tidak menyediakan bilik menyusu atau nursing room.

Susuilah anak itu tanpa mengira masa dan tempat. Jagalah adab ketika menyusui anak. Itu sahaja.

Mommy sentiasa menyokong penyusuan susu ibu. Kalau boleh perkara cetek akal seperti yang hebat dan sedang ditelagahkan itu tidak perlu pun dilayankan sangat.

Abaikan....

Mommy? Sejak anakacuk pertama sampailah ketiga ber BF, ok je 😉

Takkan pernah

Tak pernah mommy salahkan takdir bila mana mommy sendiri tahu bahawa mommy yang tak mampu menongkah ujian daripada takdir ini.

Benar, Allah takkan menguji hamba Nya melebihi had atau kekuatan hamba Nya.

Mommy sedang berusaha untuk menerima semua itu walaupun kiri dan kanan mommy rapuh dek kerana tiada penghadang untuk mommy teruskan.

Lantas, pada Nya jugalah mommy memohon supaya diberi keizinan kali kedua untuk mommy mencipta kehidupan demi kelangsungan hidup dan diberi peluang untuk mommy dekat dengan anak-anak.

Barangkali, ada amal yang tak sampai. Ada ibadat yang tak terbengkalai dan ada sifat yang cacat pada diri mommy. Ujian Nya hadir bagi mengingatkan. Supaya lebih dekat dengan Nya dan percaya bahawa rezeki itu daripada Nya bukan manusia.

Cekallah hati
Kuatlah jiwa
Untuk berdepan dengan hidup
Percayalah
Akan dunia fana
Yang dicipta sementara
Untuk melihat keegoan
Seorang bergelar hamba.

Noktah.

Dan kini....

Hidup umpama bola
Ditendang ke sana ke mari
Hidup bagai pantai
Sentiasa dihempas badai

Dan kini
Kau mengerti akan hidup
Tak ubah seperti catur
Andai kau pandai berkuda
Kau tempuh bahagia

Kejujuran tak pernah dinilai
Hingga akhirnya kau sendiri mengalah
Dengan permainan manusia dan sendiwara

Dan kini
Biar masa menentukan
Tinggalkan bila kau telah lelah
Kerna takkan ada kesudahan
Dalam kisah ceriteramu itu.

Thursday, 7 January 2016

Hari Kedua

Semakin hilang jiwa. Tak tahu sampai bila! Hanya berserah kerana kita perlukan duit KECUALI berani menanggung risiko. Jasad kaku di balik dinding sejuk. Hati sudah pun berada dengan anak.

Ya, mereka tak faham lagi. Alahaiiii .... kenapa perlu ada hati seorang ibu? Ada tak cara untuk kuburkan rasa itu seperti orang lain?

Meniti masa
Sampai bila pun tak pasti
Percayalah, ini bukan jiwaku
Yang sebenarnya.
Hanya kerana perlukan duit
Tempuhlah
Walau tiada ikhlas.

Titik noktah

Wednesday, 6 January 2016

Hari pertama

Hari ini adalah hari pertama mommy di sini. Entahlah, tak rasa apa-apa. Seperti menyerah. Pasrah dengan keadaan. Ikhlas? Pun tidak barangkali.

Cuma, mengharapkan simpati dari Allah. Mudahan ada jalan lain atau dilapangkan hati yang gundah.

Ya Allah, sungguh besar ujian Mu kali ini. Sungguh aku tak mampu harungi. Cuma kini yang ada sisa kekuatan yang tidak tahu sampai bila mampu kugendong menjadi penguat semangat 😢

Sunday, 3 January 2016

Runsing

Hari ini, dan esok lusa kemudian hari berikutnya, jalan hidup mommy sudah berbeza laluannya. Baru saja bermesej dengan pengasuh. Mula2 dia mahu bercuti 16 dan 17 Januari. Kemudian mahu naikkan bayaran bulanan Akif.

Mommy faham, mana ada orang mahu jaga atau bekerja pada cuti umum, hari minggu waima selepas enam atau paling lewat lapan malam. Bila jadual mommy berubah 360 darjah, tidak mustahil permintaan seperi itu dibuat pengasuh.

Tetapi, disebabkan hanya pengasuh yang ada ini saja yang paling dekat dengan rumah, mommy tiada jalan lain melainkan jujur padanya bahawa gaji mommy nampak saja gah cecah 3500 bagai. Malangnya, kos kehidupan 2016 tidak lagi sama seperti kos kehidupan tahun lepas dan lima enam tahun lepas.

Lagilah mommy ni ulang-alik Seremban ke Kuala Lumpur hanya untuk dapatkan duit setiap bulan dan sebab betapa sayangnya mommy dengan dunia kerja mommy hari ini. Itu sahaja komitmen yang boleh mommy beri sebab selebihnya adalah untuk tiga anakacuk mommy keluarga.

Sukar untuk diungkap. Tetapi cukup sekadar mommy mohon ehsan pengasuh untuk tidak naikkan bayaran dan mommy cuba memudahkan kerja beliau dan cuba tidak mengganggu hari2 bertenang beliau sebab mommy pun tak suka susahkan orang. Apatah lagi, ibu mommy sendiri pun pengasuh sejak 15-16 tahun yang lalu.

Cuma apa yang mommy harapkan dan usahakan adalah mencari kerja yang lebih dekat dengan anak2. Kali ini mommy bersungguh.

Tiba2 teringat kata daddy, dari dulu dia suruh mommy cari kerja lain sebab dia nampak dah mana arah tuju mommy. Betul kata dia jangan suka sangat dan selesa sangat. Dan mommy tak pernah peduli dan hari ini, mommy terduduk.

Ini belum lagi bila anak2 mula bersekolah rendah 😢

- percaya pada takdir, berusaha pada yang lain. Moga ada jalan lain. -

Friday, 1 January 2016

Diari hati

Andai kau mahu dihormati, hormatilah dulu
Andai kau mahu yang solehah, jadi soleh dulu
Andai kau mahu disanjungi, sanjunglah dulu

Yang aku mahukan bukan kepercayaan dan kesetiaan saja tetapi
Rasa hormat
Rasa mithali
Rasa disanjungi

Bukan diperlekehkan
Bukan dipersendakan
Bukan dijadikan alas amarah egomu
Bukan juga tempat tempias nafsumu

Keperitan demi keperitan kutempuhi
Sakit di dada menahan luka
Sampai hati
Biarkan diri ini terseksa
Sampai hati
Berulang kali kau biarkan diri tangisi
Sampai hati
Kau biarkan diri memikul segala tanggungjawab
Yang sebenarnya milikmu