CLICK & ENJOY

Tuesday, 29 March 2011

Bila



70/40 itulah tekanan darah rendah saya sejak Jumaat lalu... Kesian suami dan anak terpaksa menjaga saya. Satu benda pun saya tak dapat buat sampaikan susukan Aniq pun tak larat. Kepala berpinar-pinar sampai ke hulu hati. Entah kenapa? Tak tahu. Mungkin sakit dah nak datang. Dugaan. Pasrah dan berusaha untuk kembali sihat.
Alhamdulillah, Selasa kembali bekerja walaupun angin dalam perut berputing beliung kedengaran. Kepala masih sakit. Semalam check up, tekanan darah 108/90... Ok sikit...
Kena makan ikut masa dan setiap tiga jam kena kunyah sesuatu. Pesan doktor. Katanya lagi, ibu susukan anak ni, sila lupakan harapan nak diet.. Hehehe.. Kantoi di situ. Padan muka diri sendiri...
Sekarang, sedang belajar kunyah makanan sampingan seperti biskut, buah-buahan, kismis atau apa saja...

~~~ Mahu sihat seperti dulu~~~

Biodata Lelaki Kacak dan Hebat

BIODATA RASULULLAH SAW

· Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
· Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan  20 April 571 Masehi (dikenali sebagai   Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah).
· Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.
· Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
· Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf.
· Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa   Rasulullah SAW).
· Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).
· Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah.  Suaminya bernama Abu Kabsyah).


USIA 5 TAHUN


· Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.

USIA 6 TAHUN


· Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa ' (sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah).
· Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.


USIA 8 TAHUN


· Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
· Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.


USIA 9 TAHUN
  (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).

· Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan..
· Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.


USIA 20 TAHUN


· Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ' Sirah ' , jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.
· Menyaksikan ' perjanjian Al-Fudhul ' ; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.


USIA 25 TAHUN


· Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.
· Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah.
· Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
· Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.


USIA 35 TAHUN


· Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah.
· Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Makkah.
· Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ' Hajarul-Aswad ' ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.


USIA 40 TAHUN


· Menerima wahyu di gua Hira ' sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

USIA 53 TAHUN


· Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.
· Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.


USIA 63 TAHUN


· Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11Hijrah/ 8 Jun 632 Masihi.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW


§ Khadijah Binti Khuwailid.
§ Saudah Binti Zam'ah.
§ Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).
§ Hafsah binti ' Umar (anak Saidina ' Umar bin Al-Khattab).
§ Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.
§ Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).
§ Zainab Binti Jahsy.
§ Maimunah Binti Harith.
§ Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.
§ Zainab Binti Khuzaimah (digelar ' Ummu Al-Masakin ' ; Ibu Orang Miskin)..


ANAK-ANAK RASULULLAH SAW


1. Qasim
2. Abdullah
3.. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra '


ANAK TIRI RASULULLAH SAW


Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).

SAUDARA SESUSU RASULULLAH SAW

IBU SUSUAN/SAUDARA SUSUAN

1.  Thuwaibah 1.  Hamzah
2.  Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad

SAUDARA SUSUAN

1.  Halimah Al-Saidiyyah 1.  Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
2.  Abdullah bin Harith bin Abdul ' Uzza
3.  Syaima ' binti Harith bin Abdul ' Uzza
4.  ' Aisyah binti Harith bin abdul ' Uzza



BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW
                                                                                         
(ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)

1. Al-Harith
2. Muqawwam
3. Zubair
4. Hamzah ***
5. Al-Abbas ***
6. Abu Talib
7. Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza)
8. Abdul Ka ' bah
9. Hijl
10. Dhirar
11. Umaimah
12. Al-Bidha (Ummu Hakim)
13. Atiqah ##
14. Arwa ##
15. Umaimah
16. Barrah
17. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-Awwam) ***

*** Sempat masuk Islam.
## Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.  


Sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku.
Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga." (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )
 

اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه وسلم
 
Nabi Muhammad SAW - Manusia agong

KENALI NABI MUHAMMAD S.A.W. SECARA LAHIRIAH.  Begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda.
Di antara kata-kata apresiasi para sahabat ialah:  
- Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah saw..
- Aku melihat cahaya dari lidahnya.
- Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari terbit.
- Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.
- Rasulullah umpama matahari yang bersinar.
- Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.
- Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya spt bulan purnama.
- Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona.
- Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat.
- Wajahnya seperti bulan purnama.
- Dahi baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya.
- Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.
- Mata baginda hitam dengan bulu mata yang panjang.
- Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut.
- Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali pertama kali melihatnya.
- Mulut baginda sederhana luas dan cantik.
- Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.
- Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.
- Janggutnya penuh dan tebal menawan.
- Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca.                                                                      
- Warna lehernya putih seperti perak, sangat indah.
- Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.
- Rambutnya sedikit ikal.
- Rambutnya tebal kdg-kdg menyentuh pangkal telinga dan kdg-kdg mencecah bahu tapi disisir rapi.
- Rambutnya terbelah di tengah.
- Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat.
- Dadanya bidang dan selaras dgn perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih drpd biasa.
- Seimbang antara kedua bahunya.
- Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya, jarinya juga besar dan tersusun dgn cantik.
- Tapak tangannya bagaikan sutera yang lembut.
- Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik.                                                                                                                  

- Kakinya berisi, tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.
- Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
- Warna kulitnya tidak putih spt kapur atau coklat tapi campuran coklat dan putih.
- Warna putihnya lebih banyak.
- Warna kulit baginda putih kemerah-merahan.
- Warna kulitnya putih tapi sihat.
- Kulitnya putih lagi bercahaya.
- Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh.
- Badannya tidak gemuk.
- Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran sederhana lagi kacak.
- Perutnya tidak buncit.
- Badannya cenderung kepada tinggi, semasa berada di kalangan org ramai baginda kelihatan lebih tinggi drpd mereka.

KESIMPULANNYA :

Nabi Muhammad sa.w adalah manusia agung yang ideal dan sebaik-baik contoh sepanjang zaman.
Baginda adalah semulia-mulia insan di dunia.
NB:

Kirimkan kepada sahabat-sahabat muslim lainnya agar timbul kesedaran untuk mencintai Allah dan RasulNya, seperti Allah dan RasulNya mencintai kita kerana sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka. Amin...

Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangimu di dunia, tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang mengasihmu di akhirat kelak.

Monday, 14 March 2011

anakacuk: anak kacuk

anakacuk: anak kacuk

anakacuk: Sedetik mengimbau kisah Muhammad Aniq Raheel

anakacuk: Sedetik mengimbau kisah Muhammad Aniq Raheel

Hilang

Mana pergi rasa takut
Sampaikan Tuan kau menunjukkan kesaktian Nya
Kau tetap tak mahu tunduk
Sujud di kaki dengan tawaduk
Tak tahu lagikah untuk menilai
Baik buruk sikap duniawi
Kau butakan hati
Kakukan tingkah
Hanya kerana tidak mahu hilang
Keasyikan dunia
Tak takut lagi?
Nak tunggu kau telanjang
Menampakkan dosa-dosa
Baru kau rasa hilang semua
Rasa beranimu yang sifatnya
Sementara...

azlinazmi/2011

Sibuk sangat...

Minggu ni sibuk sangat sebab banyak kenduri kahwin. Hujung minggu Acun, adik bongsu mak aku akan melangsungkan perkahwinannya. Seronok sebab dah jadi nenek muda, baru nak menamatkan zaman bujang... hehehe ada seorang lagi yang masih anak dara. So, Acit mahu tunggu cucu kedua ke? lalalala... Moga jodohnya cepat sampai.

Untuk bakal Paksu aku, sebab kahwin je dapat title 'Datuk'. Ingat senang? Ayah aku pun tunggu 56 tahun baru dapat. hahaha Aku paling tak sabar nak tunggu Khamis ni. Lama sangat tak balik Chabau. Rindu zaman kanak-kanak muda belia. Kampung adalah rumah kedua aku bila cuti sekolah bermula. Apatah lagi, aku cucu pertama daripada anak pertama, jadi adalah manja sikit dengan atok ni.. Paling best, aku ada dua ibu saudara yang muda daripada aku, Acit dengan Acun. Merekalah kawan zaman kecilku tiap kali cuti sekolah. Puas la duduk kampung, berkawan, bergaduh, berebut barang, berkongsi rahsia dan sampai sekarang kami rapat. hehehe

Teringat arwah atok Salim. Teringat kena marah dengan arwah sebab aku main basikal dalam hujan sampai tersembam jatuh ke tanah.Teringat kenangan indah mandi manda dalam bilik air dengan Mak'njang, Acun dan Acit. Teringat saat-saat ketakutan sebab Mak'itam suka takutkan aku dan pernah kena marah dengan dia sebab tumpahkan air dia... Itulah kenangan termanis dalam hidupku. Belum kagi melayan karenah Shahril yang melalak entah apa-apa sebaik mak dengan ayah tinggalkan dia dengan aku kat kampung. Dia memang mengada masa tu. Nak tinggal tapi bila mak ayah balik Muar, dia melalak. hisshhhh

Paling seronok melayan mak'itam dengan mak'uda melaram sakan hanya untuk 'photoshoot' dalam rumah. Aku, Acit dengan Acun pun selalu jadi mangsa. Seronok bila dapat ikut Mak'itam dengan Mak'uda jalan-jalan waktu raya. Semua yang berlaku buat aku seronok.

Teringat zaman mandi sungai diam-diam. Sampai kena marah dengan nenek. Teringat juga main pondok-pondok kat kebun arwah atok. Terlalu banyak kenangan kalau nak diputarkan. Mungkin ada kenangan yang sudah luput. Paling sedih, bila arwah atok pergi buat selamanya.

Waktu malam, hujan renyai, mak dapat panggilan dari kampung, kata arwah sesak nafas nak di bawa ke hospital. Tak sampai beberapa minit dapat lagi panggilan, kata arwah sudah pergi masa dalam kereta.Aku dan adik-adik faham tapi tak percaya. Mak dah nangis2. Ayah tabah, bawa kereta pulang ke kampung.

Nampak arwah baring di anjung rumah. Ayah suruh kami empat beradik ambil wuduk dan baca al'quran. Kami baci di sisi atok. Aku lihat wajah tenang atok dan cuba untuk menangis. Tapi tak terdaya. Setitik aor mata pun tak keluar. Aku tengok je Mak dan adik-beradiknya menatap wajah atok dan mencium dahinya berulang kali.

Aku dan adik-adik hanya membaca Al'quran tanpa rasa apa-apa.... Air mata hanya merembes keluar pada esok tengah hari, saat jenazah atok nak di kafan. Aku baru sedar yang atok dah tiada. Aku sedih sebab lepas ni, tak dapat ikut atok naik keretanya pergi Tangkak hantar buah-buahan dari kebun untuk dijual. Tak dapat ikut atok pergi Jasin isi minyak kereta. Hmmmm aku nangis tapi tak berani cium arwah sebab aku takut sangat.

Akhirnya atok aku pergi. Atok yang membeli baju 'gaun' masa aku umur 5-6 tahun, setiap kali tiba musim raya, sudah tiada lagi. Atok yang akan datang ke Muar dengan motor birunya hanya untuk hantar durian untuk cucu-cucunya tiada lagi. Atok yang selalu suruh aku belajar pandai-pandai supaya dapat kerja dan hidup baik sudah tiada lagi. Atok yang mahu aku masuk universiti sudah tiada lagi. Aku tahu Acin dengan Acun yang lebih muda dari aku ketika itu lagi sedih. Aku tahu apa mereka rasa... Semua sedih.... alfatihah...

~~~ Kampungku berlatarkan Gunung Ledang, sejuk bila fajar menjelma... ~~~

Friday, 11 March 2011

Saya suka menulis tapi bukan pakar

Menulis memang hobi saya sejak di bangku sekolah. Sebab itu saya suka subjek Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu. Mungkin sebab ayah dah didik saya sejak kecil supaya membaca buku dan menulis diari. Jadi saya sudah terikut-ikut cara itu.

Sejak bersekolah rendah, saya sudah memiliki diari sendiri sehinggalah saya di universiti dan bekerja. Saya akan menulis apa saja yang mahu saya keluarkan dari dalam hati, dari celah-celah otak dan mana-mana sudut dalam diri yang saya rasa perlu. Tetapi, saya bukan pakar, dan saya memang tidak tahu atau sudah lupa untuk menulis mengikut tatabahasa dan langgam yang sempurna.

Paling seronok, adik saya, menemui diari lama saya yang masih elok tersimpan di dalam kotak dan dijadikan bahan bacaannya. Malu saya tetapi itu semua cerita lama. Biarlah sebab diari yang saya tulis tentang kehidupan lampau itu, sudah banyak yang saya bakar. Mungkin yang adik jumpa itu, saya terlepas pandang. Kenapa saya bakar? Mudah! Kerana saya tidak mahu ingat lagi apa yang telah terjadi. Saya lalui, saya luah, saya buang.

Walaupun saya bukan pakar dan sememangnya langsung tidak mempunyai sebarang PHD dalam penulisan atau linguistik, tetapi saya pernah mengadakan sebuah novel dan beberapa cerpen. Pada saya menulis itu adalah apabila kita mahu memberitahu sesuatu kepada semua orang. Zaman sekolah saya memang rajin menghantar cerpen, puisi atau apa saja bentuk penulisan ke meja-meja majalah dan surat khabar dengan nama samaran saya.

Saya minat dan saya buat bukan sebab hadiah tetapi mahu pembaca menilai karya saya dan membaca karya saya. Itu sudah membuatkan saya bahagia. Saya juga banyak belajar menulis ketika di universiti. Saya dilatih dan diajar oleh cendiakawan dan sasterawan. Belajar bersama mereka membawa saya berjuta pengertian berhubung dunia penulisan khususnya penulisan kreatif dan artistik. Sesungguhnya saya tidak pernah menyesal belajar di situ walaupun pada awalnya ramai anggota keluarga saya yang pelik dengan kursus yang saya ambil.

Hari ini, selepas mendengar cerita kawan-kawan dan membaca blog, saya cuba mencambah semula minat saya iaitu menulis. Adanya blog, saya boleh menulis untuk menceritakan apa saja dan menghasilkan apa saja. Blog saya juga seperti diari saya yang sudah lama saya tinggalkan...

~~~ Saya hanya suka menulis dan tidak tahu tentang ilmu kepakaran menulis ~~~

Thursday, 10 March 2011

Bila Aniq Raheel mula bercakap

Hati ibu dan ayah mana yang tidak seronok jika anak yang ditatang sejak bayi mula bercakap.
Akulah yang paling seronok bila Aniq mula menyebut patah-patah kata, 'mama', 'dada', 'tata', 'tapa', 'amla' atau 'ambal'....
Tak kisah apa saja maksud dari bunyian itu tetapi aku suka dan seronok dengan semangat dan kerajinan anak comelku berusaha membebel setiap kali mahu tidur, ketika bacakan dia buku cerita atau dia berseorangan bermain-main.
19 Mac 2011 akan datang genap sudah 11 bulan. Aku yang berkobar-kobar, dup dap dup dap menanti tarikh ulangtahun pertamanya.
Semoga Muhammad Aniq Raheel kesayangan daddy dan mummy sentiasa berada di bawah lindungan Allah...

~~~Mencongak tema party? di mana dan bagaimana sambutan terulung April nanti~~~

Wednesday, 9 March 2011

Rabu

Hari Rabu sudah hampir membenamkan jasadnya... Tunggu timbul Khamis, Jumaat dan hari penantian untuk berehat.
Jam 5.30 pagi bangkit sampailah jam 10.30 malam melelapkan mata.
Setiap hari seperti itu
Putaran hidup hingga bila, sendiri pun tak pasti.

Itu kehidupan yang wajib dilayari hanya untuk mencari halal rezeki tanpa ada rasa gusar dalam hati
Rezeki itu perlu untuk menjamin masa depan jadi hari-hari berputar
Berputar tanpa sedetik pun terhenti
Selagi ada nafas, selagi itu kaki-tangan sejasad bergerak untuk tujuan yang satu
Syukurlah
Tentang kisah hidup yang elok jalannya
Tabahlah
Kata hati yang sekejap-sekejap muncul penatnya
Menatap hari-hari yang di cipta Tuannya

Menanti 24 jam berlalu dan berlalu
detik ke minit ke jam ke hari ke minggu ke bulan ke tahun
putaran umpama roda tak pernah berhenti
tiada langsung lampu isyarat
tak perlu polis, penguasa bekerja
hanya kita dan yang bergerak untuk hidup.

Terus di sini tabah menanti dengan syukur dalam hati
percaya tentang hikmah di sebalik kepayahan
positif kan akal supaya jati diri kukuh
percaya ada yang lebih sengsara-penat dan lelah sehingga tak lagi terbendung...

~~~ Berusaha belajar untuk bersyukur dan menerima ~~~

Tuesday, 8 March 2011

Saya tahu-saya mahu

Biarlah saya saja tahu apa sebenarnya erti lelah-penat-putus asa- atau apa saja yang kamu semua kaitkan dengan sikap meroyan. Ramai sudah mengungkap pendapat tentang berhenti saja kerja! Rezeki di mana-mana! Ingatlah anak! Jadi saja surirumah suami! Cari saja pekerjaan lain! atau apa-apa saja yang mengaitkan saya yang sudah cukup letih ini.

Saya teramat-amat dan amat menghargai pandangan kalian tentang apa-apa saja cemuhan-bingkisan-luahan saya di facebook atau di sini atau di mana-mana kerana saya memang memerlukan pendapat dari kaca mata akal kalian. Tetapi akhirnya saya faham sebab saya yang kena buat pilihan. Jadi pilihan saya masih kekal di sini.

Percaya pada diri, sebab itu saya perlukan apa yang ada sekarang. Saya dah malas nak merungut dengan suami tentang keletihan teramat saya berulang-alik hari-hari dari Seremban ke Kuala Lumpur. Saya tahu jika saya hendak berhenti kerja saya perlu ada kerja lain namun, saya tidak lagi berezeki di Seremban.

Dalam pendapat itu, masih ada memunculkan kata-kata membingitkan otak saya. Kenapa saya perlu meluahkan? Sebab otak saya yang saya kira semakin berat ini harus dikeluarkan sebahagian isi tekanannya. Saya bosan dengan apa yang saya lalui di sini. Saya nak seperti dulu atau membuat sesuatu tetapi saya tak suka meminta takut dikata 'tunjuk rajin'...

Di sini, saya nak tulis bahawa saya tak boleh berhenti kerja sebab saya amat perlukannya. Kerani di Seremban boleh saja tetapi macam mana saya nak beri mak duit bulanan, adik belanja sekolah, kelengkapan rumah saya, anak saya dan apa saja yang saya bayar selama ini. Apatah lagi suami saya hanya ada lebih kurang 13 tahun untuk pencen. Jadi bagaimana dengan hanya bekerja sebagai kerani?

Saya bukan membawahkan pekerjaan halal itu. Cuma kos kehidupan yang sedang saya lalaui ini sangat tinggi dan sukar sekiranya saya mencari kerja lain pada ketika ini. Saya juga perlu membayar wang pinjaman PTPTN yang sampai mati pun belum tentu habis bayaran bunganya. Termasuk juga simpanan insurans untuk saya dan anak-anak demi masa depan mereka. Hidup di negara permai ini, perlukan banyak duit memandangkan ia adalah negara kaya- raya. Malah macam-macam saya perlu fikirkan dan saya percaya Allah telah menulis rezeki saya di sini. Maka saya berdiri kukuh di sini. Selagi Allah tidak tunjukkan saya jalan lain, saya tetapkan hati di sini.Saya bukan anak orang berada. Noktah. Dan, kerana itulah saya masih bertanggungjawab terhadap ayah dan mak di kampung serta adik-adik saya khususnya yang masih bersekolah dan belajar.

Kadang-kadang sebab penat saya marah. Saya marah manusia yang menambahkan penat saya seperti yang saya luahkan dalam facebook  selalunya. Saya marah pemandu bas sebab saya dah hafal perangai mereka sebab sudah tiga tahun saya turun naik bas. Ada orang marah dan perli sebab saya suka meroyan dengan kata-kata mereka , apasal tak bawa kereta je? laki hantar? naik komuter? Saya terima pandangan itu sekali lagi namun, seperti biasa mereka takkan faham. Sebab mereka pernah ada di tempat saya? Ada juga yang tak pernah pun naik pengangkutan awam dan memberi pendapat secara luaran.

Dengan ikhlas saya terima. Tetapi, saya juga yang tahu apa itu perangai yang ada terhadap pemilik pengangkutan awam di negara ini. Mana tidaknya saya meluah rasa, meluah amarah atau apa saja dalam laman sosial saya. Saya memerhati dan saya sudah faham, tidak seperti apa yang awak faham. Saya tiada pilihan kerana dengan pengangkutan awam saja saya dapat membajetkan wang keluar masuk. Saya kena berjimat untuk anak saya dan bakal anak-anak saya sebab seperti saya katakan tadi, kos hidup semakin lama semakin tinggi.

Ohh... saya kira besar sebenarnya pengorbanan saya selama ini. Itu penyebab saya kekal di sini sehinggalah ada sinar di Seremban nanti. Saya kuat rupanya kerana saya masih sempat memasak untuk makan malam walau sampai rumah jam 8-9 malam. Sempat lagi memutar washing machine untuk membasuh baju Aniq mahupun aku setiap Selasa dan Khamis. Jadi aku masih lagi mampu menjalankan tanggungjawab walaupun terpaksa menempuh hujan lebat, panas terik dan sikap pemilik pengangkutan awam. Saya fikir positif dan fikir sebab tu Allah berikan saya ujian seperti ini kerana saya kuat. Saya kena percaya takdir yang satu itu.

Sampai bila? Jawapan kepada soalan itu tak terdaya saya mentafsirkannya. Cuma doakau agar ada sinar di hari esok. Saya memang mahu bekerja saja di Seremban dengan pulangan setimpal untuk melangsaikan apa yang wajib setiap bulanan. Penat mana pun saya, lelah mana pun saya dan tertewas kadang-kadang saya bila kerap menghadapi kegetiran ini, saya belajar untuk tempuh dan redha dengan apa yang sedang saya lalu.

Sebab, bila saya fikir dalam-dalam, saya tahu ada ramai lagi yang besar dugaannya. Malah perlu melalui saat getir tanpa suami disisi. Ada kawan saya yang berjauhan dengan suami sebab perlu menjalankan tugas. Ada yang tinggal berdua saja dengan anak sebab suami ke bertugas di luar kawasan dan ada juga yang harus bersendiri ketika mengandungkan anak suami kerana mahu menjaga kerjaya yang baru digenggam. Tidak kurang pula yang kena berjauhan dengan anak disebabkan perlu menjalankan tanggungjawab sebagai pekerja makan gaji.

Oleh itu, saya kenalah bersyukur sebab walaupun ulang-alik saya tetap tidur di bawah ketiak suami saya. Saya masih boleh menyusukan anak saya dan kami masih ada masa untuk bersama.

~~ Tiap hari saya belajar jadi ikhlas menerima ujian Allah sebab masih ramai yang lebih besar ujian yang dihadapinya~~

~aku, kau dan dia~

~aku, kau dan dia~
Kita yang bernama wanita
Sering berkorban
Sesaat selalu mengorbankan
Apa yang ada demi insan sekeliling
Yang aku, kau dan dia kasihi.
Bagai suria membakar diri
Sampai hembusan nafas terakhir
Aku, kau dan dia masih berkorban
Tak pernah ada secubit pun rasa
Lelah-letih-malas-culas
Sebab kita wanita
Sebab kita tahu
Terciptanya kita untuk berkorban
Dengan memohon petunjuk Nya.
azlin/Mac2011


saya mengucapkan ~~ Selamat Hari Wanita~~

Monday, 7 March 2011

Lebuh High

Saban hari saya melalaui lebuh itu yang dulunya membawa seribu satu kisah. Kini hampir tiga tahun saya susurinya sampai hilang rasa penat, lelah dan tekanan. Semua rasa itu sudah saya luahkan di atas lebuh high malah sisanya turut saya semburkan di mana-mana saja.

Sembilan tahun lalu, lebuh high menjadi saksi anak kampung iaitu saya mencari ilmu di luar kota. Pelbagai kenangan dilalui sepanjang masa itu, ketika hari-hari minggunya beratur panjang penuh sesak di kaunter tiket Puduraya.

Mayang Sari, Transional, Hasry ekspres mahupun Maharani sering menjadi pilihan hati untuk menggunakan khidmatnya. Pernah tersadai di bahu lebuh itu kerana Maharani si cantik rosak tiba-tiba. Pernah terlewat akibat si Hasry yang lemah gemalai gerak lakunya malah terpaksa menempuh lambat semata-mata apabila Transional menyinggah ke Melaka.

Semua itu sebati dalam raga. Tiap pagi saya menaiki bas ke Pasar Seni, yang mana setiap bahu jalan sepanjang Pasar Seni sudah saya lalui sebelum mengenal Suasana Edaran atau SKS Bus. Memikul beg yang besar daripada tuannya dari perhentian bas Klang ke Puduraya. Di bahu, di tangan kanan dan tangan kiri penuh barang. Terjengkit-jengkit berjalan menapak dalam panas -hujan, busuk -wangi, sesak-lengang hanya untuk ke Puduraya.

Tiap petang bila pulang ke Seremban dengan bas yang sama melalui Puduraya dan kawasan sekitar, terngiang pula zaman berhimpit dalam pudu mencari tiket bas. Terpelosok di ketiak-ketiak orang semata-mata mencari Q beratur membeli tiket. Pulak, bas kehabisan terutama tibanya musim perayaan. Naiklah saya bas tambahan yang tunggunya bukan di bawa Puduraya tetapi di luar sana. Entah mana-mana bas ditempah mereka. Terpaksa pula meredah jalan raya pergi ke seberang kerana bas tunggu di sana. Saya pun mengangkut lagi semua beg yang dipikul, dijinjing masuk dalam bas.

Lalu pulak bas di hadapan MC Donald, membuahkan kenangan lagi. Masih ingat bulan puasa, mahu pulang ke kampung bersama dua sepupu. Singgah di MC Donald beli bekalan untuk berbuka puasa. Kemudian, berjalan kaki lagi dalam keletihan, berkejar-kejar dari kelas hari Jumaat semata-mata mahu pulang ke rumah. Tiba di Tol Sungai Besi, bas pun berhentilah, lalu kami berbuka sebelum meneruskan perjalanan di atas lebuh high itu.

Ulang semula:- menaiki bas dari UiTM sama ada induk atau Puncak Perdana, kaedahnya sama. Seksyen dua tempat menunggu jika di induk. Bas mini membawa ke PKNS sebelum menaiki Metro Bus ke Pasar Seni. Lepas mengetahui sistem pengangkutan awam, bas 338 rupanya lebih mudah. Tunggu saja di Seksyen dua. Terus ke Pasar Seni. Tahun akhir, lebih pandai, tunggu saja di tepi lebuh high  (federal) terus saja ke KL. Cuma kena jalan jauh sikit ikut pagar belakang hotel UiTM.

Di Puncak, keadaan agak sukar. Menanti bas macam menanti bulan jatuh. Berebut-rebut pulang dari kelas setiap Jumaat, bersiap nak balik Muar terutama jika Isnin cuti. Gara-gara saya selalu ‘homesick’ jadi kena balik kampung tiap minggu sampaikan tiada aktiviti bersama kawan-kawan.

Macam-macam hal bila teringat zaman berlebuh high itu. Dari dulu sampai sekarang masih menggunakan bas walaupun macam-macam hal berlaku sampai rasa baran, marah dan amarah meledak-ledak. Kenangan membawa beg, berjalan dari hentian bas Klang menuju ke Puduraya, berjalan di bawah terik mentari dan lebat hujan membawa beribu kenangan untuk diri saya. Pernah dek beg terlalu berat, tapak tangan merah sampaikan tali beg pun terputus. Terutama musim raya, biasalah semangat membeli biskut raya guna PTPTN dekat PKNS untuk mak.

Hinggakan mak marah sebab membazir duit. Siap belikan adik-adik baju raya. Saya hidup susah. Puas rasa hidup susah dan mahukan yang terbaik untuk adik-adik walaupun guna duit pinjam. Saya anak sulung dan sentiasa sanggup berkorban sebab adik-adik. Sebab tu setiap kali balik kampung ada saja barang di bawa dari Shah Alam. Bukan apa pun, barang-barang murah saja. Cuma teringin nak belanja adik-adik. Lagipun saya tak tahu nak buat apa dengan duit pinjam itu. Berlebih-lebih sampai sekarang masih membayar hutang yang entah bila akan selesai.

Memori lebuh high iyu tak mungkin saya lupa kerana itulah saya dan di sanalah saya belajar berdiri di kaki sendiri. Melihat dan menilai orang secara sendiri malah menangis sedih mengenang diri yang susah saat itu. Setiap kali menyusuri lebuh high dan kawasan sekitarnya pasti pasti kenangan membuahkan wadah-wadah ingatan. Terimbas saat sembilan tahun lalu. Ia kenangan terindah... Yang pasti awak mungkin sukar membaca kenangan itu. Tetapi air mata saya sering mengalir apabila terkenangkan ia.

~~~ Saya bukanlah pelajar terhebat walaupun susah ketika itu. Cuma saya selalu berazam untuk jadi terbaik dan memperbaiki keluarga saya seperti hari ini ~~~

Friday, 4 March 2011

Sayang Si Rama

cantik kepaknya
beralun warna-warni
menari-nari disegenap lorong
corong milik kembang bunga
sayang si rama
kau penyeri pagiku ini
melihatmu cantik dalam telanjang
ah, tentu saja kau bukan manusia
spesismu indah menawan kalbu
warnamu tercalit-calit bagai dilukis
aku meminatimu bila kau
gigih mengebarkan kepakmu
dengan lenggok angin
membuatkan pagi ceria
sentiasa tersenyum...
azlin2007

dulu memang aku rajin, mencuri waktu untuk menulis apa saja yang terlintas dalam otak atau melihat sesuatu... masih lagi mencuri untuk membaitkan puisi atau apa saja jika ada waktunya.. tapi, sekarang ni, tulis dalam buku nota, hilang, tulis dalam kertas pertuduhan (masa cover court) hilang... hishhhh tapi tetap berusaha untuk membuat senaman jari jemari yang macam peluru ni...

bercerita mengenai puisi di atas, ketika ini masih kekal dalam kotak akalku, pagi hari yang indah, aku keluar nak g kerja kat Seremban... nampak si rama-rama yang cantik berterbangan seekor... riangnya dia kala itu, menerbitkan senyum di hatiku...

Tuesday, 1 March 2011

Sedetik mengimbau kisah Muhammad Aniq Raheel

Setiap petikan 'snap' di lensa, mummy pasti mengingati detik sejarah yang tercipta saat itu... Mahu mengimbas memori indah saat lahirnya buah hati, pengarang jantung; Aniq Raheel.

selepas 8 jam dilahirkan.... inilah saat terindah yang tercipta untukku

                                                Wajah comel Aniq Raheel selepas dua minggu...

Aniq Raheel tidur selepas penat menangis sepanjang malam

Aniq Raheel selepas mandi

Aniq Raheel ketika ni dah pandai bau orang yang rapat dengan dia

Aniq Raheel lima bulan seronok dengan playgym baru

Aniq Raheel dengan motor kecil milik mokcu

Rutin biasa disendawakan selepas minum susu

Si comel manja mummy sudah sebulan

ucuk acam mummy yang masa ni kuat muntah

si tembam yang kacak

selepas cukur rambut genap empat bulan

cukur rambut di Masjid Negeri Sembilan oleh imam masjid

Pertama kali menyiarap depan mata mummy... terus snap

Berbuka puasa di rumah MB Negeri Sembilan

Pertama kali Aniq Raheel tengok pemandangan lautan yang luas

Bercuti di bulan puasa

Jam 7 pagi...

Meraikan Deepavali di rumah Mutti

Menyambut Aidilfitri di Muar

Photoshoot raya

Anak mummy dan daddy

Aniq Raheel ketika berusia 9 bulan

Inilah budak kecik yang suka main dengan air liur sendiri gara-gara teething

ohhhh ini budak memang sukakan air... almaklum anak cucu cicit ketam
masa ni mandi pagi di halaman rumah.... hehehehe

wajah menawan hati ni memang pantang tengok kamera

bersama kak Chu Ad di Central Market


Senyuman manja dari si kacak yang semakin membesar


Our Love is Our Life


Kesilauan ketutupan mata Aniq.. hahaha


Juara menangis jugaaa



Mandi 2-3 jam pun ok ni... cuba angkat dia dari bath tub tu? hmmmmm meraung macam kena dera...


Gambar-gambar kenangan sepanjang usia Aniq Raheel mencecah 10 bulan. Kini menanti saat dia pandai berjalan dan bercakap. Menunggu 19 April 2011, sambutan di mana ye? Kena adakan meeting dipengerusikan si kecik ni... hehehe

Seronok la bila ada anak. Letih macam mana pun sebab hari2 travel SBN-KL, meroyan macam mana pun sebab pening dnegan bus dan public transport tapi bila nampak je wajah si kecil ni, semua tu hilang.

Yang pasti, setiap saat mesti teringatkan dia...

~~~ Mummy dan daddy sedang memikirkan sambutan ulangtahun pertama Aniq~~~